Sempat baca sampai habis catatan Nik Nur Madihah di laman FB beliau sebelum catatan tersebut hilang dari radar setelah empunya diri decide untuk deactivate akaun FBnya..
Ummi baca sampai habis dan cuba hadam setiap baris dan bait² ayat.. Kias dan laras bahasa yang digunakan sangat lunak dan sedap di baca. Meskipun catatannya panjang, namun dek indahnya ayat diadun dan disulam, rasa sekejap je dah sampai ke noktah terakhir.
Dalam terbuai dek karangan yang indah, banyak yang sampai ke lubuk hati paling dalam, dan tanpa sedar mengakui setiap perenggan ayat yang ditulis.
Coretan hati dari sudut pandang seorang ummi....
Pengiktirafan
Kadangkala, pengiktirafan boleh menjadi suatu beban yang menyesakkan jiwa. Gelaran dan pengiktirafan segala yang terbaik, boleh membuatkan seseorang itu terbuai dan lemas dek pujian. Tergantung pada bagaimana penerimaan hati. Namun, manusia kan tak pernah berhenti didampingi syaitan yang sentiasa berusaha mencucuk jarum² kesesatan. Maka kalbu yang lemah, pasti terasa sesaknya, antara mensyukuri nikmat Allah atas pengiktirafan yang diberi, atau kembang hidung membangga diri hanyut dalam puji-pujian tanpa sedar. Sedang nikmat yang diberi itu, kadangkala kita juga tak menduga akan hadir menjengah jendela hidup kita. Mungkin ia singgah asbab usaha berterusan kita, mungkin juga asbab makbulnya doa insan² disekeliling kita, atau boleh jadi Allah izinkan nikmat itu diturunkan sebagai ujian kepada kita.
Pengiktirafan Hadir Bersama Jangkaan dan Pengharapan
Sudahlah pengiktirafan buat kita berperang dengan diri, hadir pula jangkaan² manusia keliling asbab pengiktirafan yang diberi..
"Kau kan orang hebat, mesti tiada masalah nak selesaikan semua ni.."
"Best student dulu ni, memang sesuai lah duduk sini, buat design.. "
"Aku tak sangka jumpa kau dekat sini.. Kau sepatutnya dah ada Ir. Dr. Ts. Datuk etc. Terkejut tengok nama kau ada sekali. Takkanlah sama level dengan aku.. Baik kau buang je selempang kau dulu tu.."
"Alah, awak mesti ok punya.. Awak orang hebat.. Semua orang yang kenal awak kata awak bukan biasa²."
"Takkanlah awak dah ada Masters, awak nak berhenti kerja jadi surirumah. Awak patut sambung ambil phd. Sayanglah dah belajar tinggi², penat², lepas tu nak duduk rumah je.."
Sedang dalam banyak ketika, yang empunya diri pun sesak dada dan sakit kepala memikirkan pelbagai masalah dan cuba mencari penyelesaian terbaik bagi masalah² yang dihadapinya agar tiada hati yang tercarik, tiada mata yang merembes air nan jernih, tiada bibir yang mencebik.. Mudah bagi orang berkata² sedangkan mereka tak pernah menyarung kasut si empunya diri yang barangkali dah acapkali terjerumus selut, terpijak paku dan kaca, terendam air bah, bahkan tercabut tapaknya. Diam² dia cuba mencuci dan membaiki kasutnya sendiri supaya tetap terus utuh bertahan untuk melindungi kaki yang masih perlu terus berlari demi melunaskan hak diri dan insan sekeliling sepanjang keberadaan di atas dunia ini.
Matlamat dan Cita-cita Kita Berbeza
Nah, dari pengiktirafan yang diberi, ramai yang tanpa segan silu mencorak dan membentuk matlamat dan hala tuju orang lain. Meletak syarat tanpa perlu. Sedangkan, matlamat dan cita-cita insani berbeza semuanya. Ramai yang mendamba untuk terbang tinggi, setinggi awan dan tak bisa digapai oleh sesiapa dan apa pun. Mendaki anak² tangga ke puncak tertinggi. Namun, ada juga yang hanya mahu kaki berpijak di bumi, berjalan menelurusi denai dan gigi pantai.. Gayat barangkali kalau jemari kaki tak menyentuh pasir dan tanah di bumi.. Matlamat hidupnya mungkin sekadar menjalani kehidupan seadanya, secukupnya.
Kesimpulan
Berpada-padalah menyanjung, jangan sampai yang disanjung hanyut dan lemas dalam sanjungan. Kutip saja ibrah dari kelebihan dan kejayaannya, dan doakanlah kesejahteraan untuknya dunia dan akhirat. Mudah-mudahan para malaikat meng-amin-kan doa itu buat kita juga.
Berpada-padalah meletak harapan dan jangkaan pada manusia, meski dia pernah menggapai segala yang terpaling dan terbaik di dunia. Kerana dia juga manusia biasa yang Allah kurniakan kelebihan secebis cuma dari segala kelebihan, kekuatan dan keagungan yang ternyata hanya milik Allah yang Esa. Jangan sampai harapan dan jangkaan kita yang bertubi-tubi dan melangit tinggi menjatuh dan meluntur luluhkan semangatnya.
Berhentilah meletak syarat cita-cita dan matlamat hidup orang lain. Memberi nasihat, pandangan dan cadangan pilihan adalah sesuatu yang berbeza daripada menetapkan destinasi dan hala tuju insan lain. Biar sahaja empunya diri membuat keputusan tentang corak dan jalan hidupnya. Definisi kita tentang bahagia dan berjaya takkan sama. Raikan saja. Kerana percayalah, Allah menciptakan kepelbagaian, untuk kita merenung kembali dan mengakui kekuasaanNya.
Berjaya atau tidak kita di dunia pada kacamata manusia tidak penting. Pada akhirnya nanti, kejayaan merebut cinta dan redha Ilahi itu lebih tinggi dan mahal nilainya di sisi Allah azza wajalla. Itulah sebenar² kejayaan yang perlu didamba setiap manusia yang beriman.
No comments:
Post a Comment