بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Sebuah kisah yang aku dengar dalam program Usrati di IKIM.fm
oleh Ustazah Norhafizah Musa.
Penceritaan semula yang mungkin tak berapa tepat sepertimana
yang Ustazah ceritakan. Tapi aku nak highlight main point dia je.
Ada sepasang suami isteri hadir ke sebuah kursus/ceramah.
Dalam kursus/ceramah tersebut, penceramah minta pasangan suami isteri untuk
senaraikan apa yang mereka tak puas hati terhadap pasangan masing-masing.
Motifnya, supaya pasangan dapat menilai kekurangan diri masing-masing dan cuba
perbetulkan.
Balik ke rumah, pasangan suami isteri ni pun bersetuju lah
untuk buat senarai. Masing-masing ambil kertas A4 dan ambil port masing-masing.
Selesai buat senarai, mereka duduk face-to-face.
Si isteri lihat kertas A4 yang suami bawa. Tebalnya. Mesti
panjang senarainya. Kertas yang dibawa si isteri pun tidak kalah tebalnya.
Tibalah masa untuk membacakan senarai yang telah dibuat. Maka, si suami memberi
giliran kepada isteri untuk reveal dahulu.
Si isteri dengan perasaan gembira, tidak sabar untuk
meluahkan. Fikir isteri, kalau isteri yang luahkan dulu, dengan senarai panjang
berjela, ambil masa yang lama, nanti bila tibe giliran si suami, dengan masa yang singkat, mesti tak banyak yang akan suami bacakan. Dengan penuh semangat, si isteri membacakan satu persatu
senarai yang di tulisnya tentang kekurangan si suami. Sedang si isteri membaca,
dilihatnya si suami mengalirkan airmata. Si isteri gembira. Detik hati isteri,
sudah insaflah tu. Si isteri terus menyambung sehingga habis semua senarai yang
panjang berjela itu. Si suami sudah sarat dengan tangisan.
Sesudah itu, giliran si suami pula. Si isteri menunggu
dengan debar melihat akan tebalnya kertas yang suami bawa. Rupa-rupanya, kertas
yang tebal tersebut hanyalah kertas kosong. Kata suami, apabila dia hendak mula
menulis akan kekurangan isterinya, teringat olehnya akan kebaikan-kebaikan
isteri. Dia rasa bersyukur kerana ada seorang isteri yang menyediakan makanan
dan pakaian untuknya, mengandung dan melahirkan anak-anak untuknya. Hanya rasa syukur yang mampu dia panjatkan.
Lalu menangislah si isteri mendengar akan pengakuan
suaminya.
Subahanallah..Masa dengar cerita ni, bergenang airmata aku. Membayangkan
betapa mulianya si suami. Membayangkan juga aku sebagai isteri, yang kadangkala
ada juga bersungut tentang suami, walau sekadar dalam hati. Betapa aku tidak
mensyukuri nikmat yang Allah berikan.
Kenapa perlu melihat pada kekurangan suami? Sebaliknya cuba
untuk menghargai setiap kebaikan yang suami lakukan. Teringat kata-kata Prof.
Muhaya, jika kita sering melihat keburukan pada orang, sebenarnya itu yang ada
pada diri kita. Jika kita seorang yang positif, kita sentiasa ingin lihat yang
positif, yang baik-baik. Begitu juga sebaliknya..
Dan apabila ada beberapa perkara yang aku kurang senangi,
seboleh mungkin aku cuba untuk tidak membiarkan diri hanyut dengan perasaan ‘tidak
senang’ itu. Simply sebab, aku yakin, pada diri aku sendiri, ada banyak perkara
yang suami kurang senangi. Selain tu, sebab aku pernah terbaca hadis ni:-
Hadis Sohih Bukhari.
“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah
wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW
ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab,
“mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka
mengkufuri Ihsan. Tatkala kamu melakukan yang terbaik kepada salah seorang
daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang
tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak
satu apa pun kebaikan padamu!”
Nauzubillah..Aku tak mahu jadi isteri yang kufur pada suami.
.kufr al-asheer..
Artikel di bawah dipetik dari BKASM…
KUFR AL-ASHEER
Al-Asheer bermaksud dalam bahasa arab, ahli keluarga atau suami jika melihat
konteks -siyaghul hadis- di atas.
Sebagai perempuan dengan kelemahan dan kekurangan yang ada, membuatkan fitrah
dan sikap semulajadi wanita untuk sering rasa tidak bersyukur, mengeluh dan
merasa tidak cukup dengan apa yang suaminya lakukan. Ini realiti. Sekalipun
pada wanita yang mengaku beriman atau jahil. Mungkin pada saya, pada anda dan
pada kita semua.
Cuba kita bayangkan, apakah yang telah suami kita lakukan untuk kita. Sekalipun
penat pulang dari kerja, beliau melayan dan mendengar bicara dan cerita kita.
Bila kita tidak mampu membuat kerja, beliau menggantikan kita dan melayan penuh
sabar dan lemah lembutnya. Bila kesihatan kita diuji, mereka menguruskan kita
dengan cinta dan kasih. Bila kita mengadu, mereka mendengar penuh tekun dan
minat sekalipun mungkin keluhan kita tidak ada makna dan hanya cicipan biasa
sahaja.
Begitulah suami. Tekanan kerja dan tanggungjawab dakwah yang pelbagai
sepatutnya kita teladani dengan syukur dan qanaah. Apa lagi yang kita inginkan
dalam hidup ini selain daripadanya?
Kufr pada kebaikan suami.
Dalam erti kata lain, tidak pernah puas. Tidak pernah rasa cukup. Tidak pernah
rasa suaminya melakukan kebaikan. Seandainya berlaku konflik, kebaikan suami
dilupakan atau seolah-olah tiada lansung dan kelemahan suami dibangkitkan.
Jauhi mulut yang berbisa dan hati yang keras.
Dari Abdullah bin Umar katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Wahai kaum
wanita, bersedekahlah kamu dan banyakkan beristighfar iaitu memohon ampun.
Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.”
Seorang wanita yang cukup pintar antara mereka bertanya, “Wahai Rasulullah,
mengapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” Rasulullah
bersabda, “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suamiAku tidak melihat mereka
yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada
golongan kamu.” Wanita itu bertanya lagi, “Wahai Rasulullah! Apakah maksud
kekurangan akal dan agama itu?” Rasulullah bersabda, “Maksud kekurangan akal
ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah
yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang
pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana
haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama.”
Sekalipun konteks perbincangan mafhum Hadis di atas dalam aspek penyaksian dan
ibadah dan dalam perbahasannya namun bukan di ruang ini saya ingin mengulasnya.
Walaubagaimanapun tidak dapat dinafikan akan peringatan dari Rasulullah saw
yang berbunyi yang boleh diambil peringatan untuk kita:-
“Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami”
Jesteru, jadilah kita wanita yang bersyukur. Cukup dengan apa yang ada. Tidak
meminta-minta. Tidak membebankan suami dengan perkara yang tidak perlu.
Menghargai. Qanaah. Syukur. Pasti dicakupkan semuanya untuk kita.
Untuk suami
Teladannya, wahai suami, sentiasalah berlaku Ihsan, memberikan yang
terbaik, dan terus bertanding dengan diri sendiri untuk mengatasi
terbaik yang telah dilakukan sebelum ini. Namun bersabarlah andai
isteri terlupa menghargainya. Jangan dibiarkan isteri berada dalam
keburukan dengan membiarkan dirinya tenggelam dalam prasangka itu,
kerana ia menjadi asbab seorang isteri terhumban ke neraka. Sebaliknya
tenangkanlah dia, pegang tangannya, dan ajaklah dia kepada sifat syukur.
-Saifulislam.com, "Permulaan Yang Baik Bukan Jaminan"-
Assalam..
ReplyDeleteMohon share artikel ye. Di FACEBOOK : SUAMI ISTERI BAHAGIA, RUMAHTANGGA SEMPURNA. Syukran