بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Memetik kata-kata Prof. Dr. Muhaya:-
Setiap apa yang kita tuturkan melambangkan peribadi si penutur.
Kalau yang keluar dari mulut kita ayat-ayat yang negatif, melambangkan dalaman kita yang sentiasa negatif. Begitu juga sebaliknya.
Jika yang kita tuturkan adalah ayat-ayat pujian yang ikhlas (bukan dengan niat memerli), menunjukkan indahnya dalaman kita.Jika yang kita hamburkan adalah cacian, maki hamun dan cercaan, itulah diri kita yang sebenarnya.
Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut kita ibarat doa.
Kalau kita mendoakan kebaikan untuk orang lain, maka malaikat akan turut mendoakan kebaikan tersebut untuk kita.
Namun jika kita mendoakan kecelakaan orang lain, dalam tidak sedar, kita turut mendoakan kecelakaan diri kita.
.Memelihara lisan.
Sebelum jari menaip, sebelum mulut menutur kata, sebelum pena menari, jika hati kita pada ketika itu dalam keadaan marah, jika jiwa dibelenggu benci dan dendam membuak, berISTIGHFARlah..
Kerana pada ketika itu, syaitan-syaitan berteriak, melonjak-lonjak kegembiraan..
Mencucuk hati dan jiwa anak Adam yang dibaluti amarah dan dendam kesumat..
Jangan sampai kata-kata yang lahir memutus silaturrahim, mencetus fitnah, menimbulkan ketidaksenangan.
Pasti saja saat itu syaitan berpesta gembira, melihat anak cucu Adam bersengketa..
Maka berISTIGHFARlah.
Moga kita terhindar dari menjadi mangsa jarum suntikan sang syaitan.
Sungguh, hidup dalam negara demokrasi, kita bebas menuturkan apa saja.
Semua berhak untuk berkata-kata.
Namun, adalah lebih baik kita tidak berkata mengikut nafsu amarah.
Berkata sekadar yang perlu.
Kalau hanya sekadar gurauan atau sindiran yang bertujuan menyakitkan hati orang lain, merasakan diri kita sentiasa benar, hindarilah..
Kerana yang demikian hanya akan menambah berat timbangan bahu kiri kita.
Setiap status yang kita post-kan, sedarkah kita berapa ramai hati yang terguris, terluka dengan sindiran kita, dengan caci maki kita?
Kita mungkin gembira kerana ramai yang menyokong, mengapi-apikan lagi sentimen kebencian, menyemarakkan lagi permusuhan..
Kita mungkin bangga bila ramai yang 'Like' status kita seolah kita dikenali seantero dunia. Seolah kata-kata kita bergema hingga ke ruang angkasa.
Menyatakan betapa hebatnya kita.
Sedarlah, bahawa itu fitnah dunia.
Setiap komen yang membakar lagi rasa, menambah perisa, setiap 'Like' yang menyokong, setuju pada bicara, semakin berganda timbangan dibahu kiri kita.
Renungkanlah.
Jangan kerana hendak nampak bijak dan petah berbicara, rupa-rupanya mempamerkan kejahilan kita.
Bicara menjadi fitnah, apabila tersebar, amat sukar untuk dipadamkan dari ingatan setiap orang yang disebarkan.
Bagi insan yang terasa terusik hatinya, memaafkan mungkin bisa sahaja, mungkin nampak mudah.
Namun kesan yang terpalit sukar untuk hilang.
Ibarat ribuan kekabu yang terhambur keluar dari bantal, bisakah dikutip semula satu-persatu sehingga terkumpul semula semua kekabu?
Tidak..Masih ada kekabu yang berterbangan dan terlekat dimana-mana.
Begitulah kesan fitnah.
Berwaspadalah dalam menutur kata.
No comments:
Post a Comment