Monday, February 20, 2012

Bersyukur…

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Dalam kehidupan, kita selalu melihat orang yang serba LEBIH dari kita. Rumah yang LEBIH besar, gaji yang LEBIH lumayan, gaya hidup yang LEBIH mewah, kehidupan yang LEBIH sempurna, wajah yang LEBIH cantik, pasangan yang LEBIH tampan, makanan yang LEBIH sedap, anak yang LEBIH comel, tembam dan gebu. Segala-galanya LEBIH. 

Jarang-jarang kita cuba melihat, merenung orang yang KURANG daripada kita. Yang KURANG makan, KURANG pakai, KURANG hiburan, KURANG harta, KURANG mewah, KURANG sempurna, KURANG cantik..

Kalau sentiasa memandang pada yang sentiasa mendapat keLEBIHan, dan jarang pula merenung pada yang sentiasa keKURANGan, kita juga akan turut merasa KURANG. Setiap sesuatu keLEBIHan yang kita lihat pada orang lain, kita akan rasa keKURANGan pada diri kita. Dan akhirnya kita akan jadi KURANG bersyukur pada nikmat yang telah Allah berikan pada kita.

Sabda Rasullullah yang bermaksud :
"Apabila seseorang darimu memandang orang yang lebih darinya dari segi harta kekayaan dan rupa paras, maka hendaklah ia melihat pula kepada orang-orang yang lebih bawah darinya"

Jika kita KURANG memandang pada yang LEBIH dan LEBIH merenung pada yang KURANG, nescaya kita akan sentiasa bersyukur atas rezeki dan nikmat yang telah Allah limpahkan. 

Melihat insan yang tidur ditepian jalan, berbumbungkan langit, beralaskan tanah, SYUKUR kita punya rumah untuk berteduh. Biarpun kecil dan tidak mewah, namun SYUKUR, kita dapat berlindung dari panas dan hujan. Kita punya tempat melepas lelah. Kita punya ruang untuk beristirehat.

Melihat mereka yang bergaji lumayan, berkereta mewah, pakaian berjenama. Timbul iri hati. Tapi jika dibanding dengan yang hanya kais pagi makan pagi, berkaki ayam ke sana ke mari, berpakaian lusuh…SYUKUR Allah kurniakan rezeki yang mencukupi. Biar hanya sederhana, namun cukup menampung menyara keluarga. Cukup bekalan makan dan pakai. SYUKUR Alhamdulillah.

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkaan kepada kamu), tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu…” – an Nahl : 18

Jika kita benar-benar hayati siapa kita di muka bumi, kita akan sentiasa berSYUKUR dan kurang merungut. Kita adalah hamba-NYA. Layakkah kita sebagai hamba untuk meminta-minta, mempersoalkan pemberian-NYA. Miskin atau kaya, cantik atau hodoh, sihat atau sakit, pandai atau bodoh, kita tetap bergelar HAMBA. Bersyukur dengan setiap kurnian-NYA. Redha dengan setiap ujian-NYA.
 
Merumuskan kata-kata  Ustaz Badli Shah Alauddin melalui slot Motivasi Pagi di Ikim.fm:-
“Kita sebenarnya tidak punya apa-apa. Oleh itu, jangan terlalu bersedih melampau-lampau apabila Allah mengambil sesuatu daripada kita. Hakikatnya, apa yang kita miliki itu datang dari Allah jua. Bersyukur jika Allah memberikan sesuatu kepada kita, dan redha andai ia bukan milik kita lagi. Kerana hakikatnya, kita tidak punya apa-apa.”

***
Reminder for myself agar sentiasa mensyukuri setiap nikmat kurniaan Allah dan tidak merungut/mengungkit  kelebihan yang dimiliki orang lain. Semoga Allah menjadikan diri ini dari kalangan mereka yang sentiasa tunduk dan patuh pada perintah Allah, dan bersyukur atas setiap nikmat yang telah Allah kurniakan. Amin..

2 comments:

  1. Aku pun dengar pagi tadi li... Terus aku tersedar yang aku ni takde apa2 pun..Allah boleh datangkan semuanya tiba2 n hilangkan semuanya tiba2..belajar untuk bersyukur n menghargai setiap apa yang kita ada sekarang... sekarang ni li..Aku tengah nak berusaha menghargai kualiti waktu aku dengan famili aku...T_T

    ReplyDelete
  2. Betul nas..hargai setiap insan di sekeliling kita. Hargai setiap apa yang kita ada. Bila-bila masa, sekelip mata, Allah boleh tarik setiap nikmat yang diberi..
    muhasabah diri ....Y_Y

    ReplyDelete

Copyright to ily's
Designed by UMIESUEstudio 2015