Monday, November 24, 2014

Nikmat Juga Satu Ujian


Seringkali bila ditimpa musibah, kita akan kata bahawa itu ujian.
Seringkali kesusahan, kepahitan, kesakitan dikaitkan dengan ujian.

Hakikatnya, seluruh kehidupan kita adalah satu ujian.
Diberi kesusahan itu satu ujian, diberi kesenangan juga merupakan satu bentuk ujian.
Nikmat yang Allah limpahkan buat kita adalah salah satu bentuk ujian juga.

Istidraj...
Allah beri nikmat pada kita. Nikmat yang melimpah ruah, berlipat ganda. Tapi segala kenikmatan yang Allah beri, semakin menjauhkan kita dari Allah.
Allah beri kita nikmat dalam keadaan Allah tidak redha akan nikmat yang diberi pada kita.
Allah beri kita nikmat, tapi Allah tak hadirkan rasa syukur kita pada nikmat yang diberikan.
Nauzubillah.


Terkadang kita tak sedar..
Segala kebaikan yang ada pada kita dan insan sekeliling kita adalah merupakan satu nikmat dari Allah..
Dikurniakan suami yang rajin solat berjemaah di masjid/surau..Suami yang aktif buat kerja kebajikan..
Dikurniakan isteri solehah, sempurna menutup aurat, menjaga perilaku dan kehormatan diri dan suami.
Dikurniakan anak-anak yang sihat dan cerdik pandai. Berjaya hafaz Al-Quran seawal usia.
Diizinkan bangun tahajud setiap sepertiga malam.
Diizinkan menghadiri majlis-majlis ilmu, kuliah di masjid/surau..
Semuanya adalah nikmat daripada Allah SWT.
Semuanya berlaku dengan izin Allah.

Kalau kita tidak mensyukuri setiap nikmat tersebut, tidak berterima kasih pada Allah atas segala nikmat yaang diberikan, berterima kasih kerana diberi kekuatan bangkit di sepertiga malam bertemu dan bermunajat pada Allah, berterima kasih kerana diberi kesihatan untuk hadir majlis ilmu, sekelip mata Allah boleh tarik balik nikmat tersebut.

Suami rajin ke masjid, semakin malas dan semakin jauh dari masjid. Malah semakin hampir ke tempat maksiat.
Isteri bertudung litup menutup aurat, tapi berselingkuh di belakang suami.
Anak-anak hafiz Al-Quran, tapi tiada jiwa Islam dalam diri mereka.
Nauzubillah..
Segalanya mungkin andai rasa syukur jauh dari hati.

Terkadang orang yang penuh dengan kebaikan, ujiannya lebih hebat lagi.
Dalam lautan kebaikan yang dilakukan, dia bergelumang dengan ujub, riak dan takbur.
Dia sangka isterinya solehah, sempurna menutup aurat asbab rajinnya dia solat berjemaah di surau.
Dia sangka anak-anaknya hebat, mudah hafaz Al-Quran kerana kehebatan dan kebijakannya mendidik anak mengikut sunnah.
Dia rasa dia baik dan dikurniakan segala kehebatan di dunia asbab kerapnya dia menghadiri majlis ilmu dan rajin bertahajud.
Dia sangka dia bahagia di dunia kerana dia selayaknya bahagia asbab segala kebaikan yang dilakukannya..
Dia sangka mereka yang di uji dengan kesusahan dan kepayahan hidup kerana kurangnya usaha mereka untuk berbuat sepertinya.
Dia sangka mereka yang tidak bahagia, rumahtangga bergolak kerana mereka itu tidak bangkit solat malam sepertinya.
Dia sangka hanya dia yang dekat dengan Allah, manakala mereka yang lain hidup terumbang ambing dalam kesesatan dan jauh dari Allah.

Allahu.
Sedangkan setiap ujian, kesusahan mahupun kesenangan, semuanya datang dari Allah.
Ujian kesusahan menuntut sabar dan redha.
Ujian kesenangan menuntut syukur ke hadrat Allah,

Bersabarlah dan redha atas ujian kesusahan yang Allah beri kerana setiap kesusahan pasti ada kenikmatan.
Besrsyukurlah atas setiap nikmat kesenangan yang Allah beri.
Berterima kasih pada Allah kerana diberi kekuatan bangun malam bersolat tahajud, beri nikmat menutup aurat, beri suami soleh yang bertanggungjawab, beri anak soleh/solehah yang bijak pandai.
Sedar akan nikmat itu adalah kurnia Allah, takut akan hilangnya nikmat tersebut kerana mengetahui Allah yang mempunyai kuasa untuk memberi dan mencabut nikmat dari kita, sentiasa mensyukuri nikmat-nikmat tersebut, sentiasa merasakan kita sebagai manusia tiada apa-apa, tiada daya upaya. Rasa amal yang dibuat hanya sekelumit dan dosa masih tetap menggunung. Moga terhindar dari sifat ujub, riak dan takbur. Sesungguhnya ujub itu adalah perbuatan hati yang tercela yang merosakkan pahala ibadah.

*** Perkongsian Kuliah Zohor Surau KKR



No comments:

Post a Comment



Copyright to ily's
Designed by UMIESUEstudio 2015